Tuesday 20 August 2013

SEMBELIT BAYI|CARA MENGATASI SEMBELIT BAYI

SEMBELITSembelit memang selalu terjadi di kalangan bayi. Bayi mengeluarkan najis yang keras dan banyak. Kadangkala najis hanya keluar sekali dalam beberapa hari. Berapa kerapnya seseorang bayi itu mengeluarkan najis berbeza di antara satu bayi dengan bayi yang lain.
Ada bayi yang dapat mengeluarkan najis dengan senang walaupun keras dan banyak dan ada juga bayi yang bukan sahaja sukar mengeluarkan najisnya yang keras dan besar tetapi mendapat kelukaan di bahagian dubur menyebabkan pendarahan pada bahagian itu.
Dicegah Perkara seperti ini perlulah dicegah daripada berlaku kerana mungkin menimbulkan masalah pembuangan najis bagi bayi itu sampai dia dewasa kelak. Sembelit adalah salah satu daripada masalah pemberian makanan yang biasa di kalangan kanak-kanak dan iamenyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan bayi.
Sembelit bukan sekadar berapa kali bayi membuang air besar dalam sehari kerana kekerapan membuang air besar amat berbeza antara seseorang bayi dengan yang lain. Yang lebih penting ialah bentuk najis yang dihasilkan. Tanda-tanda sembelit termasuklah ketulan najis yang amat keras dan kekerapan membuang air besar yang kurang daripada biasa. Bayi anda dikatakan mengalami sembelit jika dia kelihatan sakit atau perlu menggunakan daya yang kuat untuk membuang air besar. Semasa membuang najis yang keras, dubur bayi mungkin rekah dan berdarah. Bayi yang mempunyai luka pada duburnya akan enggan membuang air besar untuk mengelakkan kesakitan. Ini memburukkan lagi keadaan sembelit.
Sembelit jarang berlaku di kalangan bayi yang diberi susu ibu. Namun, bayi boleh mengalami sembelit apabila dietnya berubah, misalnya apabila makanan pejal diperkenalkan kepadanya seperti yang dialami oleh bayi puan. Sembelit juga disebabkan oleh dehidrasi seperti yang puan maklum bahawa anak puan tidak suka minum air masak. Pembancuhan susu formula yang tidak mengikut sukatan betul juga boleh mengakibatkan sembelit. Sembelit boleh juga disebabkan oleh masalah perubatan yang serius tetapi ini jarang berlaku.
LangkahAnda boleh mengambil beberapa langkah yang mudah untuk melegakan bayi anda dan mencegah sembelit daripada berulang seperti mengalakkan bayi lebih bergerak, misalnya anda boleh membaringkan bayi lalu menggerakkan kakinya seolah-olah mengayuh. Ataupun galakkan dia lebih merangkak. Kekurangan aktiviti fizikal akan menyebabkan sembelit, perlahan-lahan urutkan perut bayi dengan pergerakan bulatan selama beberapa minit selain tambahkan serat dalam diet bayi. Misalnya, anda boleh memberikannya jus buah-buahan. Tetapi jangan beri terlalu banyak kerana ia akan mengurangkan pengambilan susu.
Jika bayi anda telah diperkenalkan makanan pejal, anda boleh meningkatkan pengambilan bran, bijiran, buah-buahan segar (contohnya prun, pisang dan aprikot) serta sayuran. Pastikan bayi anda diberi cecair yang mencukupi. Berikannya air masak atau sedikit jus buah-buahan (terutama epal, pir atau prun) di antara penyusuan terutamanya apabila cuaca panas.
Jika bayi mengalami sembelit untuk jangka masa yang panjang atau terdapat tanda-tanda kesakitan yang berulang, maka anda mesti meminta nasihat doktor atau profesional perubatan.
Jangan cuba selesaikan masalah tersebut secara sendiri dengan menggunakan laksatif dan rawatan herba. Ubat-ubatan tidak patut digunakan tanpa nasihat doktor. Susu yang paling baik bagi mengurangkan sembelit adalah susu ibu. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi anda.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130217/kn_01/Mengatasi-sembelit-bayi#ixzz2LZai7wDv

Masa Sesuai Untuk Uji Kehamilan|Cara Uji Kehamilan

cek kehamilanAnda boleh mula menguji kehamilan dengan menggunakan alat khas dari hari pertama anda sepatutnya haid bagi yang mempunyai kitaran haid normal.
Kandungan human chorionic gonadotrophin (hCG) yang dikesan kehadirannya di dalam urin sebenarnya boleh diukur menerusi ujian darah, tetapi ia perlu dilakukan di makmal. Berlainan halnya jika anda menggunakan alat penguji kehamilan. Ia boleh dilakukan oleh diri anda sendiri ketika berada di rumah dalam keadaan privasi.
Untuk makluman tambahan, hCG di dalam tubuh manusia hanya dihasilkan oleh plasenta. Hormon yang datang dari plasenta ini muncul sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan berada di dinding rahim. Menariknya, alat penguji kehamilan yang sensitif mampu untuk mengesan kehadiran hCG seawal 8 atau 9 hari setelah proses ovulasi terjadi.
Sehubungan itu, kandungan hCG di dalam plasma darah meningkat 2 kali ganda setiap 2 hari. Ia akan mencapai tahap maksimum pada hari ke-60 atau ke-70. Selepas hari tersebut, kandungannya akan menurun dalam masa lebih kurang 10 minggu, seterusnya berada di tahap tersebut sepanjang tempoh anda hamil.
Alat penguji kehamilan yang kebanyakannya dijual di farmasi berupaya mengukur kandungan hCG di dalam urin. Ia boleh dikesan dalam masa sehari selepas anda tidak haid pada hari yang sepatutnya. Kandungan hCG adalah sangat tinggi di dalam urin pertama pada waktu pagi. Hal inilah yang membuatkan hasil ujian menjadi sangat jelas.
Walau bagaimanapun, jika anda tidak berkesempatan melakukan ujian di waktu pagi, anda masih boleh menguji kehadiran hCG pada masa-masa lain. Biarpun begitu, anda dinasihatkan tidak membuang air kecil 4 jam sebelum ujian dilakukan. Selain daripada itu, elakkan daripada meminum terlalu banyak air. Hal itu akan menyebabkan kandungan hCG menjadi cair lalu menjejaskan hasil ujian yang bakal diperoleh.
Ketepatan Ujian
Pemeriksaan kehamilan menggunakan alat penguji kehamilan sangat digemari kerana ia bukan sahaja mudah didapati, malah senang dilakukan sendiri tanpa banyak prosedur menjengkelkan dan harganya turut murah. Paling penting ialah keputusan segera bakal diperoleh dalam tempoh beberapa minit selepas ujian selesai dilakukan. Alat penguji kehamilan yang boleh anda lakukan sendiri di rumah sememangnya dicipta untuk mengesan hCG menerusi urin. Sekiranya kehadiran hormon itu dikenal pasti, bahan kimia yang terkandung di dalam alat berkenaan akan berubah warna bagi menunjukkan keputusannya, sama ada positif ataupun negatif.
Ketepatan ujian adalah sekitar 99%, sekiranya teknik yang dilakukan adalah mengikut arahan yang diberikan. Jadi, ada baiknya, anda membaca arahan yang dinyatakan pada label produk sebelum melakukan ujian tersebut dan seelok-eloknya lakukan ujian ini pada awal pagi sebelum anda mandi kerana hasil ujian diyakini lebih tepat.
Walau bagaimanapun, ada ketikanya keputusan menjadi negatif atas sebab-sebab tertentu. Ada beberapa keadaan kesihatan yang menyerupai kehamilan tetapi menyebabkan keputusan ujian anda menjadi negatif. Antaranya adalah seperti ovarian cysts, pendarahan tanpa ovulasi, pendarahan rahim, penyakit radang pelvik (PID), penyakit ovari polikistik, kanser rahim dan menopaus. Jika anda khuatir dan ragu-ragu dengan keputusan ujian, dapatkan pemeriksaan susulan doktor sakit puan dengan kadar segera.
Garisan yang terbentuk di alat penguji adalah hasil tindak balas hCG terkandung di dalam urin dengan antibodi yang telah diletakkan di atas alat penguji kehamilan. Garisan yang paling hampir dengan tempat urin anda diserapkan berfungsi mengenalpasti kehadiran hCG. Kehadiran garisan di tempat ini menunjukkan bahawa anda hamil. Manakala garisan yang terletak lebih jauh daripada tempat urin diserap pula bertindak sebagai pengawal untuk memastikan bahawa peralatan yang anda beli itu dalam keadaan yang baik.
Sekiranya 2 garisan muncul, anda disahkan hamil. Akan tetapi jika hanya 1 garisan yang timbul, iaitu di garisan pengawal, anda tidak hamil. Perlu diketahui juga, jika tiada langsung garisan yang timbul, alat penguji anda mungkin tidak berfungsi dengan baik.
Adalah dinasihatkan agar sebaik sahaja mendapati alat penguji kehamilan menunjukkan anda hamil, segera rujuk kepada doktor sakit puan bagi mengesahkan kehamilan itu. Seterusnya jalani pemeriksaan antenatal bagi memastikan kesihatan diri berada di tahap yang baik demi kehamilan yang sihat tanpa perlu berhadapan dengan pelbagai jenis komplikasi.
Langkah Demi Langkah
1. Baca Label Dan Arahan  Dan Teliti Semua Arahan Dan Gambar Yang Mungkin Disertakan Untuk Memastikan Anda Memahami Dengan Betul Cara Melakukan Ujian Ini Secara Bersendirian. Arahan Tersebut Termasuklah :
- Panduan mengumpul dan menyimpan sampel urin. Bila dan bagaimana untuk menjalankan ujian.
- Bagaimana untuk mentafsir keputusan ujian.
- Faktor yang mungkin boleh mengganggu keputusan ujian.
2. Ikuti Semua Arahan
Anda mesti menuruti semua arahan yang diberikan agar keputusan paling tepat boleh diperoleh. Dalam pada itu, jangan lupa menyemak tarikh tamat tempoh alat penguji kehamilan dan syarat-syarat penyimpanan sebelum melakukan ujian. Hal ini penting untuk memastikan alat berkenaan masih berupaya untuk berfungsi dengan baik.
3. Rujuk Doktor
Apabila ragu-ragu, dapatkan nasihat daripada doktor. Hal ini kerana sesetengah ujian boleh memberikan keputusan yang palsu. Ada hasil ujian menunjukkan anda hamil padahal anda tidak atau ujian menyatakan anda tidak hamil sedangkan janin sudah pun berada di dalam rahim. Langkah terbaik, berjumpalah dengan doktor pakar sakit puan jika anda khuatir dengan keputusan ujian yang diperoleh.
sumber: Mummynemo