Monday 9 September 2013

Cerahkan bibir gelap dengan mudah


Setiap wanita pastinya mahu bibir yang cerah dan merah kerana ia akan menjadikan rupa berseri dan tampak cantik daripada biasa. Namun kadang-kala bibir akan bertukar menjadi gelap dan kusam kerana beberapa faktor.

Antaranya adalah kerana merokok, minum kopi dan teh berlebihan, menggunakan gincu murah dan sebagainya.

Jika anda juga mempunyai masalah bibir gelap, jangan risau kerana kami ingin berkongsi dengan anda cara-cara untuk mencerahkan kembali bibir anda;

1. Anda boleh gunakan berus lembut atau berus gigi untuk menanggalkan sel kulit mati atau rekahan bibir yang kering. Apabila sel kulit mati telah dibuang, sel kulit yang baru akan kembali dan mengembalikan kelembutan bibir.

2. Letakkan madu di bibir anda selama 15 minit sebelum dibasuh dengan air. Lakukan pada waktu malam sebelum tidur.

3. Letakkan ubat gigi pada bibir selama 3 minit dan dibasuh dengan air. Lakukan setiap hari sehingga warna bibir menjadi agak cerah.

4. Sapukan santan kelapa pada bibir untuk membantu mencerahkan kulit bibir. Sapuan dilakukan sebelum tidur pada setiap malam sehingga bibir cerah kembali.

5. Kurangkan merokok. Perokok tegar memang sudah arif yang bibir yang terdedah dengan nikotin akan menyebabkan bibir menjadi gelap.

6. Hadkan daripada mengambil minuman kopi dan teh. Ia memang akan menggelapkan bibir anda jika terlebih minum kopi dan teh.

7. Sebelum membeli gincu, anda boleh buat 'patch test' dahulu. Sapukan gincu pada tangan anda. Jika anda merasa gatal-gatal atau alahan, elakkan dari membeli gincu itu. Selain itu tanggalkan gincu sebelum tidur dan bersihkan bibir anda. Paling penting adalah jangan gunakan gincu yang sudah tamat tempoh.

8. Jika anda keluar rumah, jangan lupa untuk sapukan lipbalm untuk melindungi bibir dari sinar UV. Ini kerana pancaran matahari bukan saja boleh menggelapkan kulit, tapi juga boleh menggelapkan bibir.

9. Makan buah-buahan segar dan sayuran serta minum air dengan secukupnya.

Diharap dengan tips ini dapat membantu anda untuk mendapatkan kembali bibir yang cerah dan jelita. Selamat mencuba!


sumber:Tupai.com

Cara mudah untuk kekal awet muda


Untuk kelihatan awet muda bukannya sukar malah pelbagai cara yang boleh dilakukan, namun kadang-kala kesibukkan tugas harian membantutkan usaha anda untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Jika anda tidak mempunyai masa atau malas untuk bersenam, apa kata cuba beberapa tips dibawah ini untuk kekal awet muda;

Tidur
Tidur amat penting untuk kesihatan tubuh badan anda. Kulit anda juga akan bertambah baik dengan tidur yang mencukupi. Tempoh tidur yang baik ialah 6 – 8 jam setiap hari.

Cara berjalan
Penting untuk kita berjalan dengan betul. Ada yang berjalan terbongkok-bongkok, ada yang jalan tertunduk-tunduk. Ada yang laju yang amat, ada yang perlahan yang sangat. Cuba berjalan tegak seperti berjalan menuruni tanah landai. Kalau anda berjalan turun bukit, pasti anda akan cuba tegakkan badankan? Berjalan tegak tapi tidak mendada. Berjalan juga senaman yang amat bagus untuk jantung.

Makan buah-buahan & sayuran
Buah-buahan dan sayuran adalah baik untuk kesihatan dalaman dan juga kulit anda. Ulam-ulaman tempatan juga baik untuk badan. Selain murah, ia juga mudah untuk didapati dan mengandungi khasiat yang sangat tinggi. Jadikanlah ia sebagai amalan harian anda!

Minum air
Amalkan minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Air akan melembabkan kulit anda serta membantu peredaran darah anda.

Jangan merokok
Merokok membahayakan kesihatan. Ia juga merosakkan struktur kulit. Berdasarkan kajian perubatan, merokok menyumbangkan kira-kira 45% faktor penuaan berbanding dengan mereka yang tidak merokok.

Makan makanan seimbang
Amalkan pemakanan seimbang didalam kehidupan anda. Pastikan diet anda lengkap dengan kandungan vitamin dan mineral yang diperlukan. Dinasihatkan supaya mengambil makanan mengikut piramid makanan yang telah ditetapkan.

Tangani tekanan & sentiasa berfikiran positif 
Tekanan bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan mental sebaliknya ia juga akan mempengaruhi kesihatan badan anda. Teorinya mudah sahaja, bagi mereka yang selalu gembira pastinya akan kelihatan muda berbanding dengan mereka yang selalu berdepan dengan tekanan. Dan sentiasalah berfikir secara positif. Anda pasti akan berasa lebih tenang jika sentiasa amalkan kehidupan yang positif. Pembacaan buku-buku motivasi juga boleh membantu anda berfikiran positif.

sumber:Tupai.com